Kerajaan Melayu Patani di Bawah Keluarga Tuan Besar
Di antara ketujuh-tujuh buah negeri Melayu bekas kerajaan Melayu Patani,negeri Melayu Patani adalah yang paling berpengaruh. Dari tahun 1842 sehingga 1902, negeri Patani telah diperintah oleh keturunan Tuan Besar Tuan Ahmad, bekas Perdana Menteri Kelantan dan juga Raja Kampung Laut semasa Kelantan di bawah pemerintahan Long Jenal (1837-39) [14]. Perlantikan Tuan Besar sebagai Raja Patani dalam tahun 1842 itu mempunyai kaitan dengan pergolakan politik di Kelantan dalam tahun 1838-39 yang dikenali sebagai Peperangan Saudara II.
Peperangan saudara itu berpunca daripada perebutan takhta antara Long Senik Mulut Merah atau Sultan Muhammad II dengan Tuan Besar Tun Ahmad, Raja Kampung Laut. Walaupun telah diiktiraf sebagai Sultan oleh Siam, Sultan Muhammad II masih curiga di atas kehadiran Tuan Besar dalam politik Kelantan. Baginda menganggap Tuan Besar sebagai pencabar utama terhadap kedudukannya sebagai Sultan kerana hubungan rapat Tuan Besar dengan Long Jenal, musuh politiknya. Pada pendapat Sultan Muhammad II,selagi Tuan Besar tidak disingkirkan dari Kelantan maka selama itu kedudukan baginda di atas takhta belum kukuh. Justeru, tidaklah hairan Sultan Muhammad II mengetepikan Tuan Besar daripada memegang sebarang jawatan penting dalam kerajaan. Walaupun ada ura-ura untuk melantik Tuan Besar sebagai Raja Bendahara namun tidak ada bukti menunjukkan bahawa jawatan itu pernah ditawarkan kepada Tuan Besar secara rasmi. Sebaliknya, sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Muhammad II, jawatan itu dipegang oleh mereka yang bukan daripada kalangan kerabat diRaja [15]. Di samping itu, hak Tuan Besar ke atas Kampung Laut juga dikatakan telah dihapuskan oleh Sultan. Keadaan ini akhirnya mencetuskan penentangan bersenjata secara terbuka di antara Sultan Muhammad II dengan Tuan Besar.
Kedua-dua belah pihak telah meminta pihak berkuasa Siam untuk campur tangan supaya menyebelahi mereka. Pada pertengahan tahun 1839, Phraya Phipath telah menghantar wakilnya ke Kelantan untuk mendamaikan konflik yang berlaku di antara kedua-dua pihak tetapi gagal. Pada 7 Julai 1839, Siam sekali lagi telah menghantar misi damai tetapi kali ini kedatangan misi itu telah disertai sebilangan anggota tentera Phraya Chaiya. Ketua misi itu telah memaksa kedua-dua pihak itu supaya berhenti berperang dan pergi ke Songkhla untuk menyelesaikan masalah masing-masing. Berikutan tekanan itu kedua-dua pihak berangkat ke Songkhla. Bagaimanapun, Tuan Besar telah diminta oleh Gabenor Songkhla pergi ke Bangkok untuk berunding dengan Raja Siam, Rama III (1824-51) mengenai masalah tersebut.
Dalam peristiwa tersebut pihak Siam lebih menyokong Sultan Muhammad II. Semasa Pemergian Tuan Besar ke Bangkok, Sultan Muhammad II, dengan disokong oleh Phraya Chaiya, telah melancarkan serangan ke atas kubu Tuan Besar dan menjelang bulan Ogos 1839, Sultan Muhammad II telah berjaya menumpaskan penentang-penentangnya.
Di Bangkok, Tuan Besar telah ditawarkan oleh Rama III jawatan sebagai Raja Patani sebagai satu penyelesaian politik terhadap masalah diKelantan.Tawaran itu dibuat berikutan berlakunya kekosongan jawatan Raja negeri di Patani selepas Nik Yusuf, raja Patani, dilantik sebagaiRaja Jering. Pada peringkat awalnya Tuan Besar agak keberatan untuk menerima tawaran itu tetapi setelah melihat kuasanya sebagaiPerdana Menteri telah berkurangan dan ramai pula pengikutnya yang berpaling tadah, maka tawaran itu telah diterimanya. Pada pertengahan tahun 1842, Tuan Besar bersama pengikut-pengikutnya yang setia telah berangkat ke Patani. Dengan itu terdirilah wangsa Tuan Besar di Patani. Setelah disahkan oleh Rama III sebagai Raja Patani, Tuan Besar telah menukar namanya kepada Sultan Muhammad dan memakai gelaran Phya Pipik Pakdi. [16] Kebetulan dengan perlantikan baginda sebagai Raja Patani, Kerajaan Siam telah mengubah dasar pentadbirannya terhadap negeri-negeri Melayu. Kerajaan Siam telah memberikan kuasa mentadbir tanpa campur tangan daripada pegawai-pegawai Siam. Raja-Raja Melayu hanya dikehendaki menghantar bunga Emas dan Perak setiap tiga tahun sekali ke Bangkok serta berikrar tidak akan menderhaka kepada kerajaan Siam.
Perubahan dasar Siam terhadap negeri-negeri Melayu dewasa itu mempunyai hubungan rapat dengan dasar kerajaan Rama III yang ingin mengekalkan keamanan dan keselamatan negeri Siam itu sendiri. [17].
Ekoran berlakunya kebangkitan anti-Siam dalam tahun 1838, Rama III pernah menerima surat daripada Bonham, Gabenor Negeri-Negeri Selat mengingatkan bahawa kerajaan Negeri-negeri Selat tidak akan campurtangan untuk menangani penentangan tersebut. [18].
Perubahan dasar itu dikatakan adalah suatu langkah yang berkesan dalam mengelakkan perasaan tidak puas hati dan kekacauan di Wilayah itu. Perlantikan elit tempatan sebagai Gabenor di tujuh buah wilayah tersebut telah mempertingkatkan lagi kemantapan politik Siam di kesemua negeri ufti tersebut [19]. Sejak itu hingga ke beberapa dekad kemudiannya keamanan telah wujud di negeri-negeri Melayu Patanidan Kedah.
Sepanjang pemerintahan Sultan Muhammad (1842-56) dan dua orang penggantinya, Tengku Puteh (1856-81) dan Tengku Besar (1881-90), Negeri Patani berada dalam keadaan aman. Kerajaan Siam masih membenarkan Raja-Raja Melayu menguruskan pentadbiran dalam negeri. Bagaimanapun semasa Patani berada di bawah pemerintahan Tengku Sulaiman Syarifuddin (1890-98), Chulalongkorn, Raja Siam, mula merancang untuk menyusun semula pentadbiran wilayah mengikut sistem Thesaphiban. Di bawah peraturan ini, kerajaan negeri tidak lagi mempunyai kuasa otonomi dan dengan itu juga Raja-Raja Melayu akan kehilangan kedaulatan mereka. Tindakan kerajaan Siam itu telah mencetuskan konflik di antara Raja-Raja Melayu Patani dengan kerajaan Siam sehingga membawa kepada penahanan Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, Raja Patani, pada tahun 1902.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan