Perang Pattani
Siam
Dipetik dari Sejarah Kerajaan Melayu Pattani
Bab 3: Pemerintahan Patani Zaman Kejatuhan
Dalam tahun Masehi 1767 Kota Ayuthia pusat
pemerintahan Siam pada masa itu telah dapat ditawan oleh orang-orang
Burma menyebabkan sentisa berlaku kacau-bilau yang hebat dan orang-orang
Burma telah masuk memerintah Kota Ayuthia itu. Sekalian raja-raja kecil
yang memerintah di merata jajahan takluk Siam pada masa itu masing-masing
berangan-angan mahu memerintah sendiri dan membebaskan kedudukan meraka dari
takluk Raja Siam itu. Raja dalam negeri Ligor telah menggunakan kesempatan ini
mendiri semula kerajaannya yang bebas dan merdeka lalu dia mengisytiharkan
kerajaannya di sebelah selatan Siam. Negeri-negeri Singgora serta Pathalung
telah menjadi jajahannya serta dihantar menterinya menjadi pemerintah di dalam
jajahan itu.
Dalam masa negeri Siam sedang kacau-bilau dan raja-raja kecilnya di seluruh
jajahan itu sedang mendirikan kerajaan masing-masing timbullah seorang pembesar
Siam-Thai bernama Phya Tak Sin dia telah dapat mengumpul sekumpulan orang-orang
Siam-Thai hingga menjadi suatu pasukan yang besar, kemudian dia telah
mengetuai pasukan itu menyerang balas ke atas orang-orang Burma dalam
Kota Ayuthia. Akhirnya dia telah berjaya dan orang-orang Burma itu habis
dihalau dan dibunuh serta Kota Ayuthia itu dapatlah kembali ke tangan
orang-orang Siam-Thai, lalu didirikan semula pusat kerajaan Siam-Thai itu
dan dia sendiri menjadi rajanya. Tetapi pusat pemerintahan telah dipindah ke
suatu tempat yang lain di dalam jajahan Thon Buri.
Setelah itu Phya Tak Sin
Raja
Siam itupun menghantar angkatan tenteranya ke seluruh jajahan takluk kerana
mengalahkan raja-raja kecil yang berkeras mahu merdeka dari pemerintahan Raja
Siam-Thai itu. Tidak berapa lama sahaja sekalian raja-raja kecil itu habis daat
ditunduk kepadanya semula hanya raja negeri Ligor sahaja yang belum dapat
dikalahkan.
Oleh itu di dalam tahun Masehi 1769 Raja Siam-Thai itu telah melancarkan
serangan yang besar ke atas negeri Ligor dengan kerana kekuatannya lebih besar
dapatlah Raja Siam itu mengalahkan Raja Ligor dan Raja Ligor yang ingin mahu
kemerdekaan itupun terpaksa melarikan diri ke Singgora tetapi diturut pula oleh
Raja Siam itu akhirnya Raja Ligor, Raja Singgora dan Raja Pathalung telah
membawa kaum kerabatnay melarikan diri ke negeri Patani serta meminta
perlindungan kepada Sultan Muhamad.
Dalam hal itu Raja Siam-Thai mengikut juga hingga sampai di daerah Tiba iaitu
sempadan negeri Patani dengan Siam pada masa itu. Dari situ dia menghantar
utusannya kepada Sultan Muhamad meminta supaya ketiga orang raja yang lari dari
Singgora itu ditangkap dan dihantar kepadanya.
Jika Sultan Muhamad enggan menyempurnakan kehendaknya iaitu dia akan tetap
menyerang negeri Patani. Utusan Raja Siam-Thai itu telah sampai di Patani pada
bulan Disember tahun Masehi 1769 juga. Oleh itu Sultan Muhamad telah
bermesyuarat dengan pembesar-pembesarnya mencari keputusan mahukah diturut atau
tidak akan kehendak Raja Siam-Thai itu. Keputusannya patut diturut kerana
bimbang atas keselamatan dan keamanan negeri Patani nanti diserang oleh Raja
Siam-Thai dengan hanya suatu sebab yang kecil sahaja. Tambahan baginda Sultan
Muhamad telah merasai tidak ada bersangkut paut pun dengan Raja Ligor dan
rakan-rakannya itu. Setelah itu baginda menyuruh orangnya menangkap Raja Ligor
itu dihantarnya kepada Raja Siam kemudian Raja Siam-Thai belayarlah kembali
dengan membawa ketiga orang raja-raja yang tersebut sebagai tawanannya.
Semenjak itu negeri Ligor pun bercantum kembali ke bawah takluk Raja Siam-Thai.
Adapun perkembalian Raja Siam-Thai itu bukanlah terhapus ingatan jahatnya di
atas negeri Patani akan tetapi hatinya masih kuat berkehendak supaya negeri
Patani itu dapat ditakluk dan orang Melayunya dapat diperhambakan. Sebagaimana
kejayaannya dapat menakluk negeri Ligor, Singgora dan Pathalung itu. Oleh
kerana kekuatannya belum dapat meluluskan kehendaknya itu terpaksalah dia diam
dahulu sementara menunggu masa yang baik.
Dalam hal yang demikian pada tahun Masehi 1776 orang-orang Burma
pun datang pula menyerang negeri Siam utaranya. Dengan hal ini Raja Siam-Thai
itu mahu mengetahui adakah Sultan Muhamad Raja Patani itu takut kepada
pengaruhnya atau tidak lalu pura-pura dia menghantar utusannya ke Patani
meminta bantuan Sultan Muhamad itu
membantunya melawan serangan orang-orang Burma itu dan dikehendaki
bantuan sebanyak 80,000 bath[1].
Tetapi permintaan itu tidak dihiraukan oleh Sultan Muhamad, bila diketahui oleh
Raja Siam-Thai kehendaknya tidak berjaya sangatlah panas hatinya dan
bertambah-tambah kuat azamnya hendak menakluk negeri Patani.
Di antara itu dalam tahun Masehi 1782, Raja Siam-Thai yang bernama Phya
Tak Sin
Atau
Raja Thon Buri itu pun mati dibunuh oleh seorang panglimanya dan panglima
inilah yang dilantik menjadi Raja Siam-Thai menggantinya atau bergelar Phra
Putrra Yu’ Fa Chula Lok atau Raja Rama yang pertama daripada keturunan Maha
Chakri. Di dalam pemerintahan raja inilah yang mula didirikan Kota Bangkok yang
ada sekarang ini.
Dua
tahun kemudian iaitu di dalam tahun Masehi 1784, orang-orang Burma
datanglah pula menyerang negeri Ligor yang di dalam takluk Raja Siam itu. Raja
Siam telah menghantar adiknya yang menjadi Raja Muda membwa angkatan perangnya
untuk melawan orang-orang Burma itu. Angkatan perang itu telah beredar
dari Bangkok dengan beberapa buah kapal perang menuju ke negeri Ligor, manakala
sampai di Ligor terus panglima Siam-Thai itu mendaratkan tenteranya dan bersatu
dengan angkatan Siam Ligor melawan orang-orang Burma itu. Peperangan telah
berlaku berbulan lamanya kesudahannya orang-orang Burma terrpaksa
mengundurkan diri kembali setelah ditewas oleh angkatan perang Siam-Thai yang
datang dari Bangkok itu.
Setelah tamat peperangan Raja Muda Siam itu telah membawa angkatan perangnya ke
Singgora kerana mengatur urusan pemerintahan di situ. Setelah siap urusannya
dia telah menghantar utusannya ke Patani meminta Sultan Muhamad tunduk
kepadanya dengan baik.
Bila utusan Raja Siam-Thai sampai di Patani, Sultan Muhamad telah memanggil
pembesar-pembesarnya datang mesyuarat untuk mengambil keputusan yang muktamad
akhirnya tetap suara masing-masing tidak mahu tunduk kepada Raja Siam-Thai
lebih lagi tidak akan melayani segala kehendak Raja Siam-Thai yang bertujuan
hendak merampas kedaulatan Raja Dan kebebasab negeri Patani.
Keputusan ini telah diberitahu kepada utusan Raja Siam-Thai itu bila diketahui
Raja Siam-Thai bahawa kehendaknya tidak berjaya tambahan pula dia telah
mendapat jawapan yang megahdari Sultan Muhamad itu. Sangatlah bergelora nafsu
penjajahan dalam hatinya dan memutus fikirannya akan menyerang negeri Patani
diberitahu kepada panglimanya Phraya Kalahum membawa angkatan perasaannya menyerang
negeri Patani dan memaksa panglima itu berperang secara berhabisan sehingga
negeri Patani itu dapat ditakluk.
Sultan Muhamad sepeninggalan utusan Siam-Thai itu kembali telah yakin di hati
baginda bahawa bagaiman pun pada kali ini sudah tentu negeri Patani akan
diserang oleh orang-orang Siam-Thai. Oleh itu baginda tidak berlengah
laig terus bertitah melengkapkan senjata perang dan membina kubu-kubu
pertahanan serta mengatur langkah-langkah perang seberapa yang dapat.
Tetapi
dukacita bahawa kedudukan negeri Patani pada masa itu di dalam kelemahan kerana
telah kurang kekuatannya dan segala senjata perang sudah tidak memadai jikalau
berperang dengan berlanjutan. Semenjak berhenti peperangan dengan orang-orang
Siam-Thai dalam masa pemerintahan Raja Kuning dahulu hampir-hampir
setengah kurun lamanya negeri Patani tidak pernah diperalatkan senjata perang
kerana tidak ada musuh-musuh yang datang menyerang. Selama itulah orang-orang
Melayu Patani hanya hidup dengan aman tenteram hingga terlupa menyediakan
persediaan untuk berperang dan hampir-hampir pula terlupa mereka terhadap
muslihat mengawal tanah air. Dengan hal itu kian lama darah perwira orang-orang
Melayu itu tentu beransur-ansur lemah serta alat-alat perang yang ada
tersimpan di dalam gedung-gedung senjata tentu pula terlampau buruk. Tiadalah
sama darjatnya dengan senjata-senjata baru yang ada di dalam tangan orang-orang
Siam-Thai kerang orang-orang Siam-Thai itu sentiasalah mengadakan
senjata-senjata baru di dalam angkatan perangnya.
Sekalipun
begitu keadaannya, tetapi melihat kepada sikap Raja Siam-Thai yang telah
berazam penuh hendak menakluk negeri Patani itu. Maka Sultan Muhamad tidaklah
berputus harap malahan terus baginda mengumpulkan senjata-senjata lama yang masih
ada itu dan mengisytiharkan kepada rakyat jelatanya peperangan yang akan
berlaku pada kali ini ialah peperangan yang akan menentukan buruk baik dan
hidup matinya Kerajaan Melayu Patani. Serta meminta kepada rakyat jelatanya
hendaklah masing-masing bersatu padu dan mengambil bahagian penuh di dalam
peperangan pada kali ini untuk mempertahankan kemerdekaan bangsa dan kerajaan.
Permintaan Sultan Muhamad itu telah disambut oleh rakyat jelata Patani dengan
penuh gembira dan masing-masing berkesanggupan penuh untuk melawan kecerobohan
orang-orang Siam-Thai. Sekalipun terpaksa mereka berkorban di medan
perang kerana mempertahankan kermerdekaan itu daripada hidup dijajah dan
ditakluk orang-orang Siam-Thai.
Setelah hampir angkatan perang Siam itu akan sampai di Patani sekalian rakyat
jelata Patani telah dikerah oleh Sultan Muhamad berkumpul di luar kota Istana
dan dibahagikan kepada dua pasukan. Pasukan yang pertama diperintah berkawal
dalam kubu-kubu di tepi pantai untuk mempertahankan pendaratan orang-orang
Siam-Thai dari kapal perangnya. Pasukan kedua berkawal di hadapan Kota
Istana dan segala alat senjata termasuk meriam dan pelurunya telah dibahagi
sama rata. Meriam besar Seri Negara dan Seri Patani yang telah pernah
mengalahkan orang-orang Siam-Thai dahulu telah dibawa semula diletak
diluar kota hanya menunggu perintah akan melepaskan pelurunya yang handal dan
kedua-dua pasukan pertahanan itu hanya menanti saat sahaja akan menghentam
serangan orang-orang Siam-Thai.
Tiada berapa hari kemudian angkatan perang Siam-Thai yang dikepalai oleh Phraya
Kalahum sampailah di Kuala Patani dan berlabuh disitu sementera menunggu saat
yang baik akan melancarkan serangannya di dalam saat penting itu. Tiba-tiba
dalam golongan orang-orang besar Sultan Muhamad adalah seorang Siam-Thai
bernama “Nai Chan Tung” iaitu berasal dari Siam Ligor telah datang menduduki
dalam Patani dengan beberapa orang rakannya ia telah banyak berkhidmat kepada
kerajaan Patani sehingga Sultan Muhamad menaruh kerpecayaan penuh kepadanya dan
telah dilantik dia menjadai seorang pembesar raja.
Sewaktu
angkatan perang Siam-Thai berlabuh di Kuala Patani itu, timbullah perasaan
jahatnya kepada kerajaan Patani dan akan berbuat bakti kepada bangsa dan
kerajaannya. Lalu dia mengatur rancangan jahatnya kemudian dengan terburu-buru
dia masuk mengadap baginda Sultan Muhamad menyatakan bahawa dia sanggup melawan
serangan orang-orang Siam-Thai. Tetapi hendaklah dilantiknya menjadi
ketua dalam pasukan rakyat Melayu yang bertahanan dalam kubu di tepi pantai itu
serta meminta kepada sultan mengurnia kepada sebuah perahu yang besar lima
hasta cukup dengan senjata-senjata dan meriam. Dengan kerana kepercayaan itu
Sultan Muhamad telah meluluskan permintaannya. Setelah itu keluarlah Nai Chan
Tung dengan perahunya. Pura-pura menuju kepada pertahanan di tepi pantai itu,
di sini mulalah dia menjalankan rancangan khianatnya kepada kerajaan Patani.
Manakala sampai di tengah malam waktu alam sedang gelap gelita yang akan dapat
melindungi kepada seorang yang akan berbuat jahat. Di kala itu keluarlah Nai
Chan Tung dengan perahunya menuju ke kapal perang orang-orang Siam-Thai
dan meminta berjumpa dengan panglima Phraya Kalahum. Setelah dapat berjumpa
terus dia membuka rahsia pertahanan orang-orang Melayu Patani dan memberi
tahu tempat-tempat perkubuan mereka serta ditunjuk pula tempat-tempat menyimpan
senjata perang kemudian dia terus melarikan diri ke Singgora.
Panglima Phraya Kalahum sangatlah sukacitanya bila dapat mengetahui rahsia
pertahanan orang-orang Melayu itu. Dia yakin pada kali ini angkatan perangnya
akan tetap menang serta terbayang-bayang pada matanya bahawa pada kali ini
sudah tentu takhta kerajaan Patani akan berguling jatuh ditendang oleh angkatan
perangnya.
Setelah
sampai saat yang baik panglima itu mulalah memerintah pasukan meriamnya
membedil ke atas kubu-kubu pertahanan orang-orang Melayu di pantai itu.
Dengan serentak dia mendaratkan tenteranya ke pantai dengan berlindung di bawah
peluru-peluru yang ditembakoleh pasukan meriam, tetapi malangnya tiap-tiap kali
peluru yang dibedil oleh Siam itu telah terjatuh di dalam kubu-kubu
orang-orang
Melayu. Sehingga beberapa kali tembak sahaja banyaklah orang-orang
Melayu itu terbunuh dalam hal itu pun orang-orang Melayu tetap
bertegas hati membedil balas dengan hebatnya. Serangan dan bedilan orang-orang
Siam-Thai itu semakin lama semakin kencang sehingga angkatan perang
orang-orang Siam-Thai itu dapat naik ke pantai serta mengumpul semua
kekuatannya menyerbu ke kubu orang-orang Melayu. Dengan sekejap sahaja
kedudukan orang-orang Melayu itu terkepung dan terputus perhubungannya
dengan pasukan yang kedua yang bertahan di hadapan kota dalam negeri. Sekalipun
mereka terkepung dan hadapannya telah terkecewa, orang-orang Melayu dalam
kubu itu terus juga melawan dengan tidak berganjak setapak pun. Kesudahannya
pertahanan orang-orang Melayu di pantai itu hancur lebur dan kubu-kubu
serta meriam-meriam mereka telah ditawan oleh orang-orang Siam-Thai.
Setelah
barisan pertahanan orang-orang Melayu di pantai itu jatuh, panglima
Phraya Kalahum telah mengumpul sekali lagi kekuatan perangnya yang tinggal di
situ terus melancarkan serangan ke dalam negeri. Serangan panglima itu telah
mendapat tentangan yang hebat dair pertahanan orang-orang Melayu di
hadapan Kota Istana dan Sultan Muhamad sendiri telah keluar mengatur pertahanan
itu. Meriam Seri Negara dan Seri Patani pun mulalah melepaskan pelurunya yang
handal itu menyekat kemaraaan orang-orang Siam-Thai dan peperangan
berapat-rapat dengan menggunakan senjata-senjata pendek pun berlaku dengan
hebat.
Peperangan itu terus berlaku beberapa hari dengan tidak berhenti-henti dan
malangnya Sultan Muhamad telah terkena peluru meriam yang dibedil oleh
Siam-Thai dengan sekejap sahaja baginda pun gugur serta mangkat ditengah-tengah
pertempuran itu, pertahanan orang-orang Melayu di hadapan Kota Istana itu
pun pecah. Serangan orang-orang Siam-Thai semakin kuat mendesak
kesudahannya pertahanan orang-orang Melayu sampailah saaat akhir dengan
berpecah belah membawa diri masing-masing. Kota Istana itu jatuh ke tangan
orang-orang Siam-Thai serta peperangan pun tamat dengan kekalahan
orang-orang Melayu.
Kekalahan pada kali ini ialah kekalahan yang pertama kali di dalam sejarah
Kerajaan Melayu Patani. Dengan kekalahan ini bererti hilanglah kemerdekaan
Kerajaan Melayu Patani dan terhapus kedaulatan raja-raja Melayu yang telah
dikawal beratus-ratus tahun lamanya. Juga sampailah maksud raja Siam-Thai yang
telah lama ingin hendak menakluk negeri Patani dan memperhambakan rakyat
jelatanya.
Kekalahan
orang-orang Melayu Patani pada kali ini adalah dengan kerana beberapa
sebab yang besar sekali ialah :
1. Rahsia
pertahanan dan kekuatan orang-orang Melayu telah pecah, dibuka oleh Nai
Chan Tung kepada panglima Siam-Thai.
2. Sultan
Muhamad telah mangkat di dalam peperangan.
3. Kelengkapan
atau senjata perang orang-orang Melayu tidak memadai.
4. Kekuatan
perang orang-orang Siam-Thai lebih banyak daripada orang-orang
Melayu.
Setelah
semua pertahanan orang-orang Melayu Patani hancur lebur, bermaknalah
negeri Patani telah terjatuh dibawah kongkong penaklukan Siam-Thai. Inilah
tarikh awal-awalnya kejatuhan negeri Patani yang berdaulat dan merdeka
beratus-ratus tahun semenjak dari pemerintahan Raja Seri Wangsa dahulu, dalam
masa kejatuhan ini adalah sangat besar ertinya dalam sejarah kerajaan Melayu
Patani. Yang demikian susah dan pengorbanan raja-raja Patani semenjak
beratus-ratus tahun pada mempertahankan daulat kerajaan dan kemerdekaan
orang-orang Melayu itu telah jatuh terkongkong di bawah penaklukan
Siam-Thai. Dengan kejatuhan inilah membawa negeri Patani terus menerus
terkongkong oleh Siam-Thai hingga sampai pada hari ini.
Setelah tertawan semua
pertahanan orang-orang Melayu itu, maka perkerjaan yang mula-mula sekali
dibuat oleh orang-orang Siam-Thai di dalam Patani ialah menangkap dan
membunuh orang-orang Melayu Patani lelaki perempuan dan kanak-kanak kecil
yang tiada bersenjata serta merampas segala harta benda, alat senjata. kemudian
Kota Istana al-Marhum Sultan Muhamad itu telah dibakar hingga licin licau.
Lebih kurang sebulan lamanya
orang-orang Siam-Thai itu bermaharajalela di dalam Patani kerana
berhabis-habisan membalas dendamnya kepada orang-orang Melayu Patani yagn
telah disifatkan orang-orang Melayu itu musuh yang utama. kemudian
mulalah panglima Phraya Kalahum itu mengatur undang-undang pemerintahan di
dalam Patani mengikut corak undang-undang penakluk dan mengurangkan daulat raja
dan orang-orang besarnya.
Setelah
undang-undang itu selesai diatur maka panglima Siam itu memerintah tenteranya
turu ke kapa perang lalu mengangkat suah belayar kembali ke Bangkok dengan
membawa beberapa banyak orang-orang tawanan Melayu termasuk lelaki
perempuan dan kanak-kanak serta harta benda rampasa perang. Di antara benda
rampasan itu yang lebih berharga sekali pada orang-orang Melayu ialah
meriam-meriam besar yagn dibuat di dalam masa pemerintahan Raja Biru dahulu.
sepucuk daripadanya telah dibawa bersama-sama dengan tawanan itu ke Bangkok
tetapi sepucuk lagi telah terjatuh ke dalam laut di hadapan Kuala Patani
sewaktu orang-orang Siam-Thai itu hendak membawanya naik ke kapal perang.
Hanya sepucuk sahaja yang telah dapat dibawa ke Bangkok. Hingga sekarang meriam
besar Patani itu telah diletak menjadi perhiasan di hadapan bangunan Jabatan
Menteri Peperangan di Bangkok pada hari ini.
Undang-undang pemerintahan yang
diatur oleh panglima Siam-Thai sebelum kembali ke Bangkok itu ialah melantik
seorang daripada orang Melayu menjadi pemerintah negeri Patani sebagai raja
patung. Pentadbiran negeri terletak di bawah kuasa jagaan raja Siam-Thai di
Ligor dan tiap-tiap tahun dipaksa menghantar ufti Bunga Emas ke Bangkok
menandakan taat setia kepada Raja Siam-Thai. Raja Patung yang dilantik oleh
orang-orang Siam-Thai itu ialah Raja Bendang Badang bernama Tengku
Lamidin.
Setelah Tengku Lamidin diangkat
oleh Siam menjadi Raja Patani maka kewajipan yang mula-mula sekali di kerajaan
ialah memperbaiki Kota Istana dan mengumpulkan semula rakyat jelata Patani yagn
telah melarikan ke merata-rata [sic]. Tetapi manakala dilihat kota
Istana yang di Kota Gerisik itu sudah hasbis binasa dan rakyat jelatanya sudah
sunyi sepi kerana banyak yang telah mati di dalam peperangan dan banyak
pula yang telah ditawan oleh Siam dibawa ke Bangkok, Tengku Lamidin pun
tiadalah berapa suka lagi tinggal di Kota Gerisik itu, lalu baginda berpindah
pula membuat istana baru di Kota Perawan serta dilantik seorang Datuk bernama
Datuk Pangkalan, duduknya di Kampung Pengkalan Besar menjadi pemerintah di Kota
Gerisik itu.
Sungguhpun
Tengku Lamidin ini telah dilantik oleh Raja Siam-Thai menjadi raja patung
tetapi dalam hatinya telah tertanam perasaan sedih atas perbuatan orang-orang
Siam-Thai kepada orang-orang Melayu Patani. Dengan kerana itu
baginda telah berazam akan menuntut bela kekalahannya dan membebaskan kerajaan
Patani dari kongkongan penaklukan Siam-Thai hanya baginda menunggu sahaja
peluang yang baik akan dijalankan maksud itu.
Dengan
hal yang demikian dalam tahun Masehi 1789, baginda pun menghantar
utusannya membawa surat kepada Raja Annam (Vietnam) dalam Indochina yang
bernama Raja “Ong Chieng Su” mengajak raja itu bermuafakat menyerang negeri
Siam. Baginda akan menyerang di pihak selatan Siam dan hendaklah Raja Annam itu
menyerang di pihak utaranya.
Tetapi
malangnya surat Tengku Lamidin itu telah dikirim pula oleh Raja Annam kepada
Raja Siam di Bangkok. Manakala diketahui oleh Raja Siam akan kehendak Raja
Patani itu sangatlah murkanya lalu diperintah kepada panglimanya Phraya Kalahum
menangkap Raja Patani itu, tetapi dalam masa itu juga Tengku Lamidin telah siap
melengkapkan bala tenteranya. Lalu berangkatlah dengan angkatan tenteranya itu
menyerang negeri Tiba manghalau orang-orang Siam-Thai di situ. kemudian
terus menyerang masuk ke jajahan Cenak dengan senang dan akhirnya sampai ke
Singgora manakala sampai baginda di Singgora bertempurlah baginda dengan
angkatan orang-orang Siam-Thai yang sedang berkubu di Kampung Bukit Anak
Gajah lalu berperanglah di situ beberapa hari lamanya.
Berita serangan orang-orang
Melayu ke Singgora itu telah sampai kepada Raja Siam-Thai di Ligor lalu
dia menghantar bantuan tenteranya menolong orang-orang Siam-Thai
Singgora. Serangan orang-orang Melayu yang di bawah pimpinan Tengku
Lamidin itu kian lama semakin kencang akhirnya pertahanan orang-orang
Siam-Thai Singgora dan Ligor pun melarikan diri ke negeri Phatalung, tetapi
terus juga diburu oleh orang-orang Melayu itu sehingga berlaku pula
peperangan di negeri Pathalung.
Dalam hal yang demikian
sampailah angkatan panglima Phraya Kalahum dari Bangkok yang bertujuan hendak
menangkap Raja Patani itu. Lalu angkatanya masuk bersatu dengan Raja Singgora
dan Raja Ligor bersama-sama menahan serangan orang-orang Patani itu.
Pengundurun Tengku Lamidin ini
tiadalah mendatangkan kebaikan suatu pun kepada baginda kerana memberi peluang
yang baik kepada orang-orang Siam melancarkan serang balasnya. Oleh itu
sepanjang-panjang pengundurannya sentiasa diikut oleh orang-orang
Siam-Thai akhirnya sampailah orang-orang Melayu Patani dan
masing-masing masuk bertahan dalam Kota Perawan kerana menanti serangan
orang-orang Siam itu.
Oleh
kerana angkatan orang-orang Siam itu telah berkumpul dari tiga angkatan
besar jadilah mereka lebih banyak daripada orang-orang Melayu.
Kesudahannya Kota Perawan itupun dapatlah dikepung oleh orang-orang Siam
dan mereka menyekat segala perhubungan orang-orang Melayu itu dengan
rakan-rakannya yang ada di luar kota. Dengan hal yang demikian pertahanan
orang-orang Melayu itu pun lemah akhirnya Kota Perawan itu terjatuh ke
tangan orang-orang Siam dan Tengku Lamidin pun dapat ditangkap oleh orang-orang
Siam. Kemudian baginda telah dihukum bunuh atas kesalahannya menderhaka
kepada Raja Siam-Thai di Bangkok. Setelah itu orang-orang Melayu pun
berpecah belah membawa diri masing-masing. Kekalahan ini ialah berlaku dalam
tahun 1791 iaitu kekalahan yang kedua di dalam sejarah kerajaan Melayu Patani.
Sebagaimana biasa orang-orang Siam-Thai itu pun masuklah ke dalam Kota
Perawan menangkap dan membunuh orang-orang Melayu serta merampas segala
harta benda mereka. Setelah puas mereka bermaharajalela, mereka itu pun kembalilah
ke Singgora dengan membawa beberapa orang-orang tawanan Melayu.
Sebelum orang-orang
Siam-Thai itu kembali, telah dipililh seorang pembesar Melayu diangkat
pula menajadi raja memerintah negeri Patani. Diangkatnya “Datuk
Panglakan” serta diberi gelaran “Luang” kepadanya dengan kerana itu sekalian
anak-anak datuk ini semuanya dipanggil “Long” belaka. Dan supaya menjaga
orang-orang Melayu itu daripada menderhaka kepadanya dilantik pula
serorang orang besar Siam bernama Laksaman Dajang menjadi penjaga mengawal
orang-orang besar Melayu serta disuruh pula beberapa orang orang-orang
Siam-Thai tinggal berkawal di Patani.
Semenjak itu tenanglah sedikit
hal ehwal di dalam Patani tetapi pemerintahan Datuk Pangkalan selalu berselisih
dengan orang-orang Siam itu kerana tidak ada kebebasan menjalankan
pemerintahan negeri hanya sentiasa sahaja dihalang oleh orang-orang
Siam-Thai. Istimewa orang-orang Siam itu sangat jahat perangainya
dan selalu membuat keganasan kepada rakyat Melayu Patani. Oleh itu dalam tahun
Masehi 1808 timbullah suatu perselisihan yang hebat di antara Datuk
Pangkalan dengan orang-orang Siam itu.
Setelah
hilang sabarnya, Datuk Pangkalan pun datanglah dengan orang-orangnya menyerang
orang-orang Siam-Thai itu secara terkejut. Sehingga terpaksalah mereka
itu dengan ketuanya Laksama Dajang lari menyelamatkan diri ke Singgora. Raja
Singgora pula menghantar suratnya ke Bangkok menyatakan bahawa Datuk Pangkalan
dan orang-orang Melayu Patani telah belot kepada Raja Siam-Thai. Sementara
itu Raja Ligor dan Raja Singgora pun datanglah dengan bala tenteranya ke
Patani keran hendak menangkap Datuk Pangkalan itu.
Di Patani pun bersiaplah
sekalian kerabat datuk-datuk iaitu Datuk Pangkalan, Datuk Sai, Datuk Pujud dan
lain-lain. Masing-masing mengumpul kekuatan menanti kedatang orang-orang
siam Ligor dan Singgora manakala sampai orang-orang Siam itu
berperanglah dengan orang-orang Patani berbulan-bulan lamanya.
Orang-orang Patani di bawah pimpinan datuk-datuk itu pun terus berjuang dengan
cara berhabis-habisan, masing-masing berazam teguh akan menghalau orang-orang
Siam itu dari negeri Patani dan membebaskan diri mereka dari kongkong
penaklukan Siam-Thai. Dengan berkat azam yang suci itu maka orang-orang
Siam pun kalah lalu mengundurkan diri kembali ke Singgora dan Laksama
Dajang pun kembali juga ke Ligor.
Beberapa bulan kemudian angkatan
orang-orang Siam-Thai dari Bangkok yang diketuai oleh Phraya Kalahum pun
sampai pula dengan beberapa buah kapal perang dan di daratan telah diiringi
pula oleh orang-orang Siam Singgora dan Ligor. Peperangan pada kali ini
telah berlaku sekali serentak di darat dan di laut. Perjuangan di laut telah
berlaku dalam Baruh Laguni dan perjuangan di darat telah berlaku di Kota
Gerisik. Akhirnya orang-orang Melayu Patani pun telah kalah dan Datuk
Pangkalan telah mati di dalam perjuangan itu. Sekalian datuk-datuk yang lain telah
lari menyelamatkan diri masing-masing.
Setelah mendapat kemengan itu,
masuklah orang-orang Siam-Thai dengan megahnya memerintah negeri Patani
dan ditangkap orang-orang Melayu membuat tawanan serta merampas segal
harta benda mereka itu, dan mengatur pula undang-undang pemerintahan di dalam
negeri Patani mengikut kemahuannya.
Kemudian mulai orang-orang
Siam itu menjalankan rancangan hendak menghapus daulat raja-raja Melayu,
iaitu diangkat seorang bangsa Siam-Thai brnama “Nai Khuan Sai” menjadi raja
Patani. Setelah sempurna mengatur pemerintahan dalam Patani itu, Panglima
Phraya Kalahum pun kembali ke Bangkok bersama-sama dengan angkatan perangnya.
Nai Khuan Sai itu ialah anak Raja Cenak yang berasal keturunannya daripada
bangsa Cina yang datang berniaga di Cenak. Setelah itu Nai Khuan Sai pun
datanglah memerintah Patani membawa beberapa ratus orang-orang Siam
Singgora dan berbuat kampung kediaman di bandar.
Sejak itu kedaulatan raja-raja
Melayu dalam negeri Patani pun mulai terhapus serta kekuasaan penuh telah
tercabut ke tangan orang-orang Siam-Thai pula. Di antara beberapa tahun
kemudian raja Khuan Sai itu mati dan diganti oleh adiknya bernama Nai Phya
menjadi Raja Patani serta adik dari abangnya itu bernama Nai Him Sai yang
bergelar Luang Sawad Phakdi, telah diangkat menjadi penolongnya.
Dalam masa Nai Phya mejadi raja
memerintah negeri Patani itu, keadaan di dalam negeri Patani tidaklah menjadi
aman seperti dalam masa pemerintahan raja-raja Melayu dahulu. Oleh kerana
orang-orang Siam telah merasai dirinya lebih berkuasa selalulah mereka
berbuat ganas dan kejam atas orang-orang Melayu Patani, malah selalu pula
orang-orang Siam itu bertempur dengan orang-orang Melayu. Dengan
hal itu menyebabkan orang-orang Melayu sangat benci kepada mereka.
Setelah Nai Phya berpendapat
bahawa orang-orang Melayu sentiasa menaruh dendam terhadap orang-orang
Siam maka bimbanglah dalam hatinya jikalau orang-orang Melayu
memberontak menuntut kemerdekaan pula. Oleh itu dikirimnya sepucuk surat kepada
Raja Singgora menyatakan hal kebimbangannya di Patani dan Raja Singgora pun
menyampaikan hal kebimbangan itu kepada Raja Siam di Bangkok, soal ini telah
dibawa mesyuarat dengan para menterinya untuk mengambil keputusan pada
menetapkan dasar pemerintahan dalam jajahan takluknya di Patani.
Permesyuaratan
itu telah bersetuju bahawa kekuatan negeri Patani hendaklah dipecah-pecahkan
supaya senang memerintah dan dengan jalan ini dapatlah ia melemahkan pendiriajn
orang-orang Melayu. Setelah itu raja Siam mengutus seorang menterinya
bernama Phraya Abya Songgram” datang ke Singgora dan berunding dengan Raja
Singgora itu untuk membahagikan negeri Patani menjadi tujuh buah wilayah yagn
kecil-kecil iaitu Patani, Jering, Nongcik, Jalur, Sai, Reman dan Legeh.
Yang demikian negeri Patani yang
dahulu hanya diperintah oleh seorang raja sahaja dan tidak pernah pula
dipecah-pecahkan, sekarang telah terbahagi kepada beberapa buah kawasan.
Dibahagi oleh Raja Siam dengan maksudnya hendak melemahkan kekuatan orang-orang
Melayu supaya senang dia memerintah dan mudah memperhambakan orang-orang
Melayu itu mengikut dasar penjajah (imperialisme) iaitu “pecah-pecahkan
kemudian perintah”
Setelah pekerjaan membahagi
negeri Patani sudah selesai, Nai Phya telah diangkat menjadi Raja Jering dan
diserah kuasa kepadanya menjaga segala wilayah-wilaya yang lain itu. Tetapi
segala urusan pemerintahan dalam negeri terletak di bawah perhatian dan kawalan
Raja Singgora dan pada tiap-tiap wilaya itu disuruh Nai Phya memilih orang-orangnya
yang dipercayai kemudian dihantar memerintah dalam tiap-tiap buah wilaya itu
serta diberi taraf kepada meraka itu seperti raja-raja juga.
Adapun orang-orang yang
dipilih oleh Nai Phya dan dihantar memerintah di dalam wilayah-wilayah yang
tersebut itu ialah demikian :
1. Tuan
Haji Sulong diangkat menjadi Raja Patani duduknya di Kota Gerisik
2. Tuan
Nik diangkat menjadi Raja Nongcik duduknya di Kota Nongchik.
3. Tuan
Mansur diangkat menjadi Raja Reman duduknya di Kota Baharu.
4. Tuan
Jalur diangkat menjadi Raja Jalur duduknya di Jala.
5. Nik
Dah diangkat menjadi Raja Legeh duduknya di Kota Legeh.
6. Nik
Dih diangkat menjadi Raja Sai duduknya di Jerenga.
Adapun
Tuan Haji Sulong yang menjadi Raja Patani itu ialah seorang daripada anak cucu
keluarga Datuk Pangkalan duduknya dengan berumah tangga di kampung Gerisik.
Selain daripadanya ialah orang-orang yang dipercayai oleh Nai Phya
belaka. Di dalam masa Tuan Haji Sulong menjadi Raja Patani, baginda sangatlah
mengambil berat terhadap urusan agama Islam, dan baginda inilah yang membina
masjid di pintu gerbang yagn masih ada bekasnya di Kampun Gerisik hari ini.
Dalam tahun Masehi 1871,
Tuan Jalur yang memerintah wilayah Jala itu pun mangkat dan diganti oleh
anaknya bernama Tuan Bangkok menjadi pemerintah di situ. Kemudian daripada itu
Tuan Nik Raja Nongchik pula mati dan diangkat Tuan Kecik adik kepada Tuan
Sulong Raja Patani menggantinya memerintah di wilayah Nongchik itu. beberapa
tahun kemudian Tuan Mansur Raja Reman pun mati pula dan diganti oleh anaknya
bernama Tuan Kundur. Demikianlah adanya pemerintahan di dalam negeri Patani
sewaktu dia telah dijajah oleh kekuasaan orang-orang Siam itu cara
pemerintahannya adalah di bawah kongkongan penjajahan mereka.
Mulai dari sini negeri Patani
pun adalah berkaitan dengan ngeri Kedah pul. Oleh itu eloklah kita bawakan
sedikit sejarah yang berkenaan dengan negeri Kedah itu dalam masa ia ada
berhubung dengan sejarah kerajaan Melayu Patahi dan orang-orang Siam-Thai
pada masa itu supaya senang kita memahamkannya.
Pada masa itu negeri Kedah telah diperintah oleh seorang Raja Melayu yang
bergelar Sulatan Ahmad Abdul Halim Syah atau Tengku Pengiran namanya. Tetapi
akhirnya baginda ini telah ditewaskan oleh Raja Siam-Thai lalu lari
menyelamatkan dirinya ke Melaka dan di negeri Kedah pun diperintah oleh seorang
anak raja Siam Ligor.
Pada tahun Masehi 1831
adalah seorang putera dari keluarga Raja Kedah itu bernama Tunku Kudin telah
mengumpul sekalian rakyat Kedah yang masih taat setia kepada rajanya
melancarkan serangan ke atas orang-orang Siam di Kedah itu. Akhirnya
dapatlah merebut kembali Kota Istana yang diduduki oleh Raja Siam dan Raja Siam
denga orang-orang besarnya lari kembali ke Singgora. Kemudian dia telah
berunding dengan Raja Singgora serta dengan bapanya Raja Ligor untuk mengadakan
sebuah angkatan yang besar bagi mengalahkan semula orang-orang Kedah itu.
Masing-masing un bersetuju atas cadangan ini lalu mereak mengadakan sebuah
angkatan perang yagn bergabung dari orang-orang Siam Singgora dengan
orang-orang Siam Ligor.
Angkatan orang-orang Siam
ini telah datang melancarkan serang balas yang hebat ke atas negeri Kedah.
Tunku Din sendiri telah keluar memimpin rakyat Kedah itu melawan serangan
orang-orang Siam-Thai. Peperangan ini telah berlaku dengan
berlanjutan tetapi serangan angkatan orang-orang Siam itu tidak
berjaya hendak meneawaskan orang-orang Kedah, dan terpaksa Raja Siam itu
mengundurkan angkatan perangnya kembali ke Singgora. Sepanjang-panjang pengudurannya
telah turut diserang oleh Tunki Din dengan rakyatnya hingga sampai juga ke
Singgora.
Melihat kepada serangan
orang-orang Kedah itu telah sampai dalam negerinya, Raja Singgora pun
memberitahu hal ini kepada Raja Siam di Bangkok serta meminta bantuan dengan
segeri kepadanya. Sepucuk surat pula telah dihantar kepada Raja Nai Phya di Patani
meminta bantuan juga kepadanya buat melawan orang-orang Kedah itu.
Setelah suratnya sampai di Patani, Raja Nai Phya pun mengarah sekalian
raja-raja dari eman buah wilayah dalam Patani itu membawa rakyat masing-masing
datang berkumpul di wilayah Jering (Jambu) kerana akan dihantar kepada Raja
Singgora. Raja Patani, Raja Nongchik, Raja Legeh dan Raja Yala membawa rakyat
masing-masing berkumpul di Jering hanya Raja Sai dan Raja Remen sahaja yang
tidak datang. Nai Phya pun menyuruh raja-raja yang tersebut membawa rakyatnya
berjalan ke Singgora, tetapi raja-raja itu enggan menjalankan suruhannya kerana
mereka telah tahu rakyat-rakyatnya akan dibawa berperang melawan
saudara-saudaranya orang-orang Kedah iaitu saudara-saudara yang sebangsa
dengan mereka juga. Di sini terpaksalah Nai Phya menjalankan kekerasan dan
ugutan hingga empat orang raja-raja itu sanggup hendak membawa rakyat-rakyatnya
ke Singgora baharulah berhenti kekerasannya.
Dalam hal yang demikian empat orang
raja-raja ini telah berunding dengan sulit untuk memutuskan soal ini.
Keputusannya masing-masing telah tetap tidak mahu membawa rakyatnya ke Singgora
berperang dengan saudaranya orang-orang Kedah itu dan masing-masing telah
bersetuju mahu memberontak melawan Raja Nai Phya dan orang-orang Siam
yang ada di dalam Patani.
Setelah itu empat orang
raja-raja ini telah memerintah rakyat masing-masing mengakat senjata dan
bersatu menyerang orang-orang Siam yang ada di dalam Patani itu.
Oleh kerena orang-orang Siam itu sangat sedikit bilangannya tidak berdaya
mereka hendak melawan pemberontakan orang-orang Melayu. Banyaklah
orang-orang Siam itu telah dapat dibunuh oleh mereka dan banyak pula yang
sempat melarikan diri ke Singgora. Tetapi telah dibunuh juga oleh orang-orang
Melayu itu hingga sampai ke Tiba, Cenak dan masuk ke dalam sempadan
Singgora lalu orang-orang Melayu itupun bertemulah dengan saudaranya
orang-orang Kedah yang sedang berperang dengan orang-orang Siam
Singgora itu.
Orang-orang Melayu Patani itu
masuklah pula bersatu dengan saudaranya orang-orang Kedah sama-sama
melawan orang-orang Siam-Thai. Di dalam peperangan ini orang-orang
Melayu Patani telah berkubu di Bukit Anak Gajah. Sewaktu peperangan
sedang berlaku dengan hebat itu, sampailah angkatan orang-orang Siam-Thai
dari Bangkok diketuai oleh Phray Phrak Khlang yang dihantar oleh rajanya
membantu Raja Singgora. Angkatan ini ialah suatu angkatan perang yang besar
lengkap dengan senjata-senjata yang banyak, setelah di amsuk bersatu dengan
orang-orang Siam Singgora itu bertambah besar kekuatan mereka melawan
orang-orang Melayu. Tetapi orang-orang Melayu itu terus juga
melawan dengan tidak mengendahkan kekuatan musuhnya yang lebih besar itu. Dalam
hal yang demikian Tengku Kudin panglima angkatan orang-orang Kedah itu
mati dalam perjuangan, dan mulalah orang-orang Kedah itu berpecah-belah
melarikan diri masing-masing.
Orang-orang Melayu Patani bila
melihat saudaranya itu telah berpecah-belah, serta mereka telah percaya tidak
akan berdaya melawan orang-orang Siam-Thai yang lebih besar kekuatannya
itu, mereka pun terpaksa mengundurkan diri kembali ke Patani dan masing-masing
berazam akan membuat pertahanan yang akhir di Patani.
Setelah itu panglima Siam-Thai Phray Phrak Khlang telah mengumpul semua
angkatan perang orang-orang Siam itu dan dibahaginya menjadai dua
pasukan. Pasukan yagn pertama dihantar menyerang orang-orang Kedah dan
pasukan yang kedua dihantar menyerang orang-orang Patani. Pasukan yang
pertama itu mulalah melacarkan serangannya ke atas negeri Kedah dengan
menumpahkan semua kekuatannya. Kesudahannya negeri Kedah dapatlah ditakluknya
kembali dan diangkat Raja Siam yang dahulu juga menjadi pemerintah siam di
situ. Setelah selesai peperangannya dengan orang-orang Kedah itu
beredarlah pasukan yang kedua dengan diketuai sendiri oleh panglima Phray Phrak
Khlang menuju ke Patani dengan beberapa buah kapal perangnya. Setelah sampai di
Patani diapun mendaratkan orang-orangnya di pantai Kuala Patani kemudian
menyerbu masuk ke dalam negeri. Orang-orang Melayu di bawah pimpinan empat
orang rajanya bertahanlah dengan bersungguh-sungguh.
Adapun Tuan Sulong yang menjadi pemerintah negeri Patani pada masa itu ialah
saudara kepada Sultan Kelantan yang beranam Long Muhamad. Bila diketahuinya
negeri Patani diserang oleh orang-orang Siam itu baginda Long Muhamad pun
menghantar bantuan sepasukan rakyat Kelantan menolong orang-orang Patani
yang berperang melawan orang-orang Siam-Thai. Pasukannya diketuai oleh
Raja Muda Kampung Laut serta anaknya Tengku Besar (Tengku Muhamad) dan Raja
Banggol. Demikian juga Sultan Terengganu telah menghantar sebuah angkatan
bantuannya ke Patani dengan diketuai oleh Panglima Tengku Idris, Panglima Encik
Kulan, Panglima Wan Kamal dan Panglima Encik Ismail. Setelah angkatan bantuan
ini sampai di Patani, masuklah bersatu dengan orang-orang Patani
berperang melawan orang-orang Siam.
Peperangan
ini telah berlaku dengan sehabis-habis dahsyat dlaam sejarah Patani. Phray
Phrak Khlang telah memerintah orang-orang Siam itu berperang dengan
berhabis-habisan. Dia tidak mengindahkan kerugian dan kebinasaan yang
ditanggungnya lebih banyak daripada orang-orang Melayu itu. Kesudahannya
pertahanan orang-orang Melayu pun roboh dan pintu kemenangan mulalah
terbuka kepada orang-orang Siam itu. Orang-orang Melayu yang tidak
berkuasa mempertahankan serangan mereka. Terpaksalah berpecah belah menyelamatkan
diri masing-masing. Rakyat-rakyat Kelantan dan Terengganu sekali dengan
panglima-panglimanya telah mengundur kembali ke negeri masing-masing.
Tuan Sulong Raja Patani dengan Tuan Kundur Raja Jalur telah undur dengan anak
isterinya berlindung di Kelantan. Sementera itu Tuan Kecik Raja Nongcik dan Nik
Dah Raja Legeh mengundurkan diri ke ulu negeri Patani tetapi diburu juga oleh
orang-orang Siam hingga sampai ke daerah Jarum sempadan Perak. Berlaku
pula perjuangan di antara dua orang raja itu dengan orang-orang Siam
akhirnya Tuan Kecik mati dalam perjuangan dan Nik Dah berlepas ke Perak.
Setelah
raja-raja Patani itu habis melarikan diri masing-masing, maka rakyat di dalam
negeri Patani pun menderitalah kesengsaraan kerana ditindas, dibunuh dan
dicabul oleh orang-orang Siam-Thai yang menyangka dirinya telah menang di
dalam segala-gala perjuangan itu. Segala harta benda dan makanan orang-orang
Melayu itu seperti padi, berass, ayam, itik dan lain-lain habis
dipunggahnya bawa ke kapal sebagai harta rampasan perang.
Sesudah puas mereka bermaharajalela di dalam Patani itu. Phray Phrak Khlang
panglima Siam telah mulai pula melengkapkan angkatan perangnya akan melanggar
negeri Kelantan dan Terengganu kerana menuntut bela atas perbuatan raja-rajanya
yang telah membantu orang-orang Melayu Patani berperang dengan
orang-orang Siam itu.
Bila kala hal ini telah diketahui oleh Long Muhamad Sultan Kelantan itu,
bimbanglah baginda nanti negeri Kelantan pula diserang dan ditakluk oleh
orang-orang Siam-Thai itu. Dan supaya mengawal negeri Kelantan jangan
menanggung nasib seperti negeri Patani itu. Maka Sulatan Kelantan itu teah
menghantar utusan damainya kepada Phray Phrak Khlang mengaku hendak tunduk
kepada Raja Siam serta sanggup membayar kesalahannya itu dengan wang sebanyak
50,000 dolar. Dan Tuan Sulong Raja Patani dengan Tuan Kundur Raja Jalur serta
anak isterinya yang ada di Kelantan itu, terpaksalah dihantar kembali kepada
panglima Siam itu. Dan cadangannya hendak menyerang negeri Kelantan pun diubah.
Kemudian panglim Siam-Thai itu menghantar utusannya kepda Sultan Terengganu
memperingatkan kesalahannya membantu orang-orang Patani dan memaksa
hendaklah menghantar kembali sekalian orang-orang Patani yang telah lari
berlindung di Terengganu iut. Istimewa panglima-panglima Patani iaitu Panglima
Damit, Panglima Mahmud, Panglima Pik dan Panglima Ahmad. Sekalian orang-orang
Patani dengan panglima-panglimanya ini telah diserahkan oleh Sultan
Terengganu kepada panglima Siam yang sedang menunggu di Patani.
Setelah pemerintahan di dalam negeri Patani diatur semula oleh panglima Siam
itu. Maka dalam bulan September tahun 1832 angkataan perang orang-orang
Siam-Thai itu pun kembali ke Bangkok dengan membawa beberapa banyak
orang-orang tawanan perang serta dengan harta benda rampasan di dalam
Patani. Orang-orang tawanan Melayu Patani yang dibawa oleh Siam pada kali ini
tidak kurang daripada 4,000 orang iaitu lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Azab
sengsara yang ditanggung oleh orang-orang Melayu yang dikurung di dalam
kapal-kapal perang Siam-Thai sewaktu di dalam perjalanan ke Bangkok itu
tidaklah dapat hendak dituliskan di sini dan beberapa banyak pula di antara
mereka itu telah mati di dalam kapal sebelum sampai di Bangkok.
Sebelum orang-orang Siam itu kembali raja-raja di dalam wilayah-wilaya
kecil dalam Patani yang telah ditangkap atau mati itu pun telah diangkat semula
oleh panglima Siam menggatinya iaitu :
Di Patani diangkat Nik Yusuf orang Gerisik
Di Nongcik diangkat Nai Ming Orang Siam Cenak
Di Jala diangkat Nai Him Sai (Luang Sawad Phakdi)
penolong raja Nai Phya
Di Legeh diangkat Nik Bongsu seorang yang setia kepada
Nai Phya.
Adapun Nai Him Sai Jala itu duduknya di Kubang Teras, Nik Bongsu Raja Legeh
duduknya di Tanjung Mas, Nik Yusuf Raja Patani dudukunya di Kuala Bekah iaitu
di sebelah hilir gedung Cina hari ini.
Semenjak dari masa itu negeri Patani dan Kedah duduklah di bawah kekuasaan Raja
Siam iaitu di Kedah diperintah oleh anak Raja Siam Ligor dan di Patani
diperintah oleh rajaa-raja yang diletak oleh orang-orang Siam-Thai.
Pemerintahannya terus menerus berjalan hingga sampai pada tahun Masehi
1838, adalah dua orang anak raja dalam keluarga raja-raja Kedah bernama
Tunku Muhamad Saad dan Tunku Abdullah. Kedua anak raja ini telah mengatur
rancangan gerakan sulit yang bertujuan hendak menggulingkan kuasa raja Siam dan
merampasa kembali takhta kerajaan Melayu Kedah. Setelah sampai hari baik ketika
baik, rakyat-rakyat Kedah di bawah pimpinan kedua anak raja itu terus menyerang
orang-orang Siam. Denga sekali serentak sahaja dapatlah merebut kembali
Kota Istana dan membunuh orang-orang Siam yang ada di dalam Kedah tetapi
rajanya telah sampai lari ke Singgora dengan rakyatnya.
Orang-orang
Siam yang melarikan diri itu terus sahaja diburu dan diusir oleh orang-orang
Kedah hingga sampai di Cenak. Di sini orang-orang Siam Singgora pun
datanglah membantu rakan-rakannya menahan serangan orang-orang Kedah itu.
Dengan kerana serangan orang-orang Kedah itu semakin lama semakin
kencang, raja Singgora pun menghantar utusannya ke Bangkok, meminta bantuan
dengan segera. Dan utusan yang seumpama itu dihantar juga kepda Raja Nai Phya
di Jering.
Raja Nai Phya pun memanggil sekalian raja-raja dari wilayah-wilayah yang
tersebut membawa rakyat masing-masing ke Singgora. Oleh sebab raja-raja itu
orang yang taat setia kepada Raja Nai Phya dan telah lama menjadi perkakasan
pemerintahan kepadanya, tidaklah menjadi apa-apa halangan lagi hanya raja-raja
itu membawalah rakyat masing-masing ke Singgora. Tetapi bila mereka sampai di
Cenak banyaklah di antara mereka tidak suka membantu orang-orang Siam.
Tambahan pula mereka akan dibawa berperang melawan saudaranya orang-orang
Kedah, rakyat-rakyat Patani yang lari itu telah masuk bersatu dengan
saudaranya orang-orang Kedah berbalik melawan orang-orang Siam.
Peperangan ini terus berlaku beberapa lamnya hingga orang-orang Melayu
pun lemah. Tunku Muhamad Saad ketua orang-orang Kedah itu telah mati di
dalam perjuangan dan Tunku Abdullah pula mengundurkan orang-orangnya kembali ke
Kedah. Di belakang pengundurunnya diikuti pula oleh serangan orang-orang
Siam itu hingga sampai di Kedah. Oleh kerana kekuatan orang-orang
Kedah itu telah habis digunakkan di dalam peperangan, dengan senang
sahaja negeri Kedah pun jatuh semula ke tangan orang-orang Siam.
Orang-orang Melayu Patani yang bersatu dengna orang-orang Kedah itu pun
terpaksalah lari membawa diri masing-masing sahaja.
Setelah
tamat peperangan itu , Raja Singgora pun menyuruh raja-raja Patani dari emam
buah wilayah itu kembali membawa rakyat masing-masing kerana dia telah merasai
bimbang kalau-kalau berbangkit pula pemberontakan orang-orang Melayu
Patani. Tiada beberapa tahun kemudian, Raja Nai Phya yang memerintah di wilayah
Jering pun mati. Kematiannya telah diberitahu kepada pusat pemerintahan di
Singgora, oleh itu dengan perintah Raja Singgora telah dilantik Nai Him Sai
Raja Yala menjadi raja memerintah di Jering itu menggantinya. Kemudian dilantik
pula orang Siam Singgora bernama Nai Muang menjadi raja memerintah di Jala, dan
Nai Muang telah berpindah dari Kota Kubang Teras mendiri sebuah kota yang
baharu di Kampung Seting iaitu di seberang Sungai Besirat.
Di dalam tahun Masehi 1842 negeri Kelantan telah diperintah pula oleh
Sultan Tuan Senik Mulut Merah. Pada tahun ini udara perselisihan sedang mendung
dengan gelapnya di kalangan keluarga diraja Kelantan. Perselisihan ini telah
berlaku di antara sultan itu dengan beberapa orang saudaranya iaitu Sultan Dewa
(Raja Penambang), Raja Muda, Tengku Seri Indera dan Tengku Muhamad (Tengku
Besar) anak Raja Muda Kampung Laut. Dengan kerana perselisihan ini telah
membawa berlaku permusuhan dan peperangan saudara di antara sultan itu dengan
raja-raja yang tersebut.
Setelah peperangan saudara itu berlaku beberapa lama dan tiada terbayang pun
harapan akan dapata berdamai dengan baik. Maka kedua belah pihak itu telah
mengadukan hal ini kepada Raja Siam di Bangkok, Pengaduan ini telah diterima
dengan baik oleh Raja Siam lalu dia menghantar seorang orang besarnya bernama
Phraya Thai Nam bersama-sama dengan Raja Ligor dan Raja Singgora datang ke
Kelantan kerana menjadi orang tengah mendamaikan peperangan itu.
Berbetulan dengan masa raja-raja Siam-Thai itu berkerja mendamaikan peperangan
saudara di Kelantan, Nai Him Sai (Luang Sawad Phakdi) Raja Jering pun mati dan
diangkat Nik Yusuf Raja Patani menggantinya. Oleh sebab di Patani tidak ada
raja yang memerintah lalu dipersilakan Tengku Muhamad (Tengku Besar) anak Raja
Muda Kampung Laut itu berangkat ke Patani kemudian dengan rasmi dilantik
menjadi raja memerintah negeri Patani. Manakala segala pentadbiran di dalam
negeri terletak di bawah kawalan dan perhatian Raja Siam Singgora demikian juga
Sultan Dewa telah berangkat ke Ligor dan tetaplah dia tinggal di sana.
Sewaktu keberangkatan Tengku Muhamad ke Patani itu adalah diiringi oleh seorang
saudara perempuannya bernama Tengku Tuan Menanjiwa dan Tengku Banggol ayah
saudaranya serta kaum keluarganya telah bersama-sama mengikut. Demikian juga
Tengku Long Ahmad Raja Bukit, sekalian raja-raja itu pun tinggallah
bersama-sama dengan Tengku Muhamad di Patani.
Pada mula-mulanya Tengku Muhamad itu telah berbuat kampung istana di
Seberang Hujung Tanjung, sekarang dipanggil Kampung Tengku Besar Semerak.
Tetapi tiada berapa lama kemudian telah didapati kawasan yang kampung itu
tidaklah berapa baik dan sesuai dengan keadaan geografi, lalu masing-masing
berpindah. Membuat kota istana yang baharu Kampung Cabang Tigaa dan di
situlah telah kekal menjadi kota istana raja-raja Patani hingga sampai pada
hari ini.
Setelah Tengku Muhamad itu dilantik menjadi Raja Patani, lalu digelarkan Sultan
Muhamad dan di sisi Raja Siam Bangkok digelarkan “Phraya Tani”. Dengan kehendak
dan perintah Raja Siam itu juga sekalian keluarga diraja yang mengikut
bersama-sama dengan Tengku Muhamad ke Patani itu telah diberi jawatan
masing-masing. Raja Banggol dilantik menjadi Phraya Phitak ertinya jawatan penasihat kepada Sultan Patani dan
raja-raja yang lain daripadanya telah dilantik menjadi pegawai-pegawai tinggi
kerajaan belaka. Setelah dua tahun kemudian Raja Banggol dan Tengku Long Ahmad
Raja Bukit itu , kedua-duanya telah mangkat di Patani. kemudian dilantik Tengku
Tengah anak kepada Raj Banggol itu menjadi Phraya Phitak mengganti ayahandanya.
semenjak itu negeri Patani mulalah diperintah oleh raja-raja dari Kelantan yang
dilantik oleh Raja Siam. Cara-caranya pemerintahan dalam negeri telah
dijalankan di bawah perhatian dan kawalan Raja Siam yang berpusat di Singgora.
Yang demikian daulat Sultan Muhamad dan orang-orang besarnya itu keadaannya
tidak lebih dari hujung telunjuk Raja Siam, ertinya pemerintahan dijalankan
mengikut kuit telunjuk Raja Siam atas kemahuannya kerana mengikut kepada
dasar-dasar penaklukan mereka. Hanya di dalam abad pemerintahan Sultan
Muhamad ini, suasana di dalam negeri Patani adalah kian bertambah aman
tenteram.
Tiada beberapa lama kemudian, Nai Ming raja Nongcik telah dicabut oleh Raja
Siam dari jawatan, alasannya kerana lemah di dalam pemerintahan, kemudian
dilantik Nai Kliang, anak kepada Nai Him Sai bekas Raja Jering dahalu, menjadi
Raja Nongcik menggantinya. Nai Kliang ini telah memindahkan pusar
pemerintahannya dari kota Nongcik kepada Kampung Tok Jong.
kemudian dari situ, Nai Muang Raja Jala pula dipecat dari jawatannya oleh Raja
Siam kerana kurang kelayakannya dalam pemerintahan. Kemudian dilantik Tengku
Muhamad Saleh (Tuan Batu Putih) menjadi raja Jala dan Tengku Muhamad Saleh ini
telah memindahkan semual pusat pemerintahannya ke Kampung Jalur seperti dahulu
kala.
Kemudian dari itu Nik Dah Raja Sai yang duduk di kota Jerenga pun mangkat dan
dilantik Tengku Jalaludin (Nik Lebai) anaknya menjadi raja di situ pula.
Dalam tahun Masehi 1853, Nik Yusuf Raja Jeringpun mangkat, raja inilah
yang digelar oleh orang-orang Patani Raja Tok Ki.Kemudian
Raja Siam Singgora telah melantik Sultan Dewa yang duduk di negeri Ligor
menjada Raja Jering itu menggantinya. Setelah itu berpindahlah Sultan Dewa
dengan anak beranaknya memerintah di Jering dan anaknya yang bernama Tengku
Sulong telah diangkat menjadi penolongnya dengan bergelar Luang Suthon Raja.
Lebih
kurang setahun lamanya Sultan Dewa menjadi raja memerintah di Jering itu pun
mangkat dan anaknya Tengku Sulong itu telah meminta izin kepada Raja Siam,
berpindah kembali ke Kelantan keran ia tidak suka lagi tinggal di Jering.
Kemudian dilantik Nik Timun anak kepada Raja Nik Yusuf bekas Raja Jering yang
dahulu itu, menjadi raja memerintah di Jering pula.
Dalam
tahun Masehi 1856 Sultan Muhamad Raja Patani pun mangkat, baginda ini
telah dimakamkan di perkuburan Tanjung Datuk. Oleh itu digelarkan orang
al-Marhum Tanjung hingga sampai sekarang. Kemangkatan baginda ini telah
meninggalkan empat putera dan dua orang puteri iaitu :
1. Tengku
Puthih kemudian menjadi Raja Patani yang kedua.
2. Tengku
Bulat (Tengku Haji Tua)
3. Tengku
Husin (Tengku Sulaiman Sharifudin) Raja Patani yang keempat.
4. Tengku
Tenal bersuami kepada Raja Remen.]
5. Tengku
Labuh bersuaami kepada Tengku Cik anak Tengku Banggol.
Kemudian dengan kehendak dan persetujuan Raja Siam telah
melantik Tengku Putih menjadi Raja Patani mengganti ayahandanya dan diberi
gelaran “Phraya Wicit Phakdi”
Di dalam masa pemerintahan Tengku Putih ini, negeri Patani telah mulai
bertambah-tambah ramai penduduknya terutama abli perniagaan bangsa-bangsa
asingpun banyaklah yang datang berniaga di dalam Patani. Di antara mereka itu
yang lebih banyak sekali ialah orang-orang Cina, dengan kerana banyaknya
orang-orang mereka lalu dipanggil kampung yang didudukinya dengan nama
Kampung Cina hingga terkenal sampai hari ini.
Tiada
berapa tahun kemudian Tuan Kundur Raja Remen, Tengku Muhamad Saleh (Tuan Batu
Putih) Raja Jala yang kedua pun mangkat dilantik Tuan Timun anak Tuan Kundur
itu menjadi Raja Remen bergelar Phraya Ratna Phakdi, raja inilah yang berpindah
berbuat kampung di Kota Baharu, Remen yang ada sekarang ini. Di Jala telah
dilantik Tengku Sulaiman (Tuan Kecik) anak Tengku Muhamad Saleh menjadi raja
mengganti ayahandanya dengan bergelar Phraya Narongrit Phakdi.
Demikian juga di wilayah Nongcik, setelah kematian rajanya yang bernama Nai
Kliang lalu dilantik seorang pembesar Siam bernama Nai Ming menjadi raja di
situ dengan bergelar Phraya Phitera Phibit Narobit.
Kemudian daripada itu Tengku Jalaludin (Nik Lebai) Raja Sai dan Tuan Timun Raja
Remen mangkatlah pula, lalu dilantik Tengku Abdul Kadir (Nik Kalpit) anak
Tengku Jalaludin itu menjadi Raja wilayah Sai dengan bergelar Phrak Suria Suthon Phakdi dan dilantik Tengku Abdul Mutalib (Nik Pik) menjadi
penolongnya dengan bergelar Phrak
Ratna Montri. Tengku Abdul Kadir inilah yang mendirikan
kota istana raja di Selindung Bayu atau Teluban pada masa ini.
Di wilayah Reman, dilantik Tengku Abdul Kadis (Tuan Jagung) adik kepada Tuan
Timun tadi menjadi rajanya bergelar Phraya Ratna Phakdi dan dilantik Tuan Bali
Jawa anak Tuan Timun itu dan Tuan Lebeh anak Tengku Abdul Kandis menjadi
penolong keduanya. Tengku Putih telah terus menerus menjalankan pemerintahan di
dalam negeri Patani dengan secara aman tenteram hingga memasuki tahun Masehi
1881 baginda pun mangkat setelah menduduki atas takhta kerajaan Patani
selama 26 tahun. Di dalam masa hayat itu baginda telah mempunyai dua orang
isteri.
Di Kelantan beristeri kepada Tengku Raja puter kepada Sultan yang menjadi
penasihat raja (Phraya Phitak). Pada masa baginda mangkat itu ialah sewaktu
baginda sedang gering di Kelantan hingga baginda mangkat pun di Kelantan juga
oleh itu baginda digelarkan al-Marhum Mangkat di Kelan
Kemangkatan baginda telah meninggal seorang putera dan eman orang puteri iaitu
:
Dengan isteri di Kelantan
1. Tengku
Besar (Tengku Timun)ialah Raja Patani yang ketiga.
2. Tengku
Embong isteri Raja Bendahara Kelantan.
Dengan isteri di Patani
3. Tengku
Embik isteri Tengku Muhamad Kelantan
4. Tengku
Tengah isteri Raja Yala
5. Tengku
Pik isteri Tengku Muhamad anak Raja Belat.
6. Tengku
Patani isteri Tengku Besar Indera Raja Kelantan.
7. Tengku
Muhamad menjdi Raja Muda dalam pemerintahan Tengku Sulaiman Sharifudin.
Manakala Tengku putih sudah mangkat lalu dilantik
puteranya Tengku Besar (Tengku Timun) duduki
takhta kerajaan Patani menjadi Raja yang ketiga. Adapun pada masa itu pangkat
jawatan penasihat raja belum lagi dilantik orang-orang yang memangkunya
kemudian daripada mangkat Raja Banggol itu lalu dilantik Tengku Tengah anak
Raja Banggol menjadi Penasihat Raja. Tengku Sulaiman menjadi Raja Muda dan
dilantik Tengku Abdul Kadir anak Tengku Tengah menjadi Penolong Raja.
Dalam antara itu juga Nai Ming
Raja Nongcik pun mati dan diganti oleh seorang orang Siam bernama Nai Ming
serta diberi gelaran Phraya Phitcra Kibal.
Tidak berapa lama kemudian Nik
Timun Raja Jering pun mangkat lalu dilantik adiknya Nik Mat menjadi raja
pemerintah di situ dengan diberi gelaran Phrya Phipit Sinamat.
kemudian daripada itu Nai Ming
Raja Nongcik pun mati serta Nik Bongsu Raja Legeh pula mangkat lalu dilantik
Nai Tad menjadi Raja Nongcik dan dilantik Tuan Andak anak Nik Bongsu itu
menjadi Raja Legeh dengan bergelar Phraya Pupha Phakdi.
Tengku
Besar (Tuan Timun) telah menduduki atas takhta kerajaan Patani selama sembilan
tahun iaitu menjadi Raja Patani yang ketiga menjalankan pemerintahan di bawah
kawaland an perhatian Raja Siam-Thai. Dengan kerana negeri Patani pada masa itu
telah terjatuh ke bawah penaklukan Raja Siam maka terkawallah soal keselamatan
negeri dari diserang oleh musuh-mushnya. Oleh itu dalam sejarah pemerintahan
Tengku Besar ini negeri Patani tidaklah lagi berlaku permusuhan mahupun
musuh-musuhnya dari luar negeri atau musuhnya yang ada di dalam negeri iaitu
orang-orang Siam-Thai sendiri.
Hingga sampai pada tahun Masehi 1890 Tengku Besar pun mangkat serta
dimakamkan diperkuburan (Tok Ayah) yang ada sekarangini. Kemangkatan baginda
telah meninggalkan dua orang putera dan tiga orang puteri serta mempunyai tiga
orang isteri iaiu Cik Wa, Mek Puteh dan Cik Mek Cik Teh.
Dengan isteri Cik Wa :
1. Tengku
Besar, isteri Raja Muda Kelantan.
2. Tengku
Wok, isteri Tengku Husin (Tengku Besar Nai RA)
Dengan isteri Mek Putih :
3. Tengku
Nik Haji (Tengku Ismai)
Dengan isteri Cik Mek Cik Puteh iaitu:
4. Tengku
Tengah, isteri Tengk Ngah putera Raja Sai.
5. Tengku
Muhamad (Tengku Cik Ku Mat)
Setelah Tengk Besar mangkat lalu dilantik Tengku Sulaiman
Sharifudin Raja Muda, menaiki takhta kerajaan Patani dengan bergelar Sultan
Sulaiman Sharifudin iaiut menjadi Raja Patani yang keempat dalam zaman
penaklukan Siam-Thai, dan bergelar di dalam bahasa Siam Phraya Wicit Phakdi.
Kemudian dilantik Tengku Muhamad
putera Tengku Besar iut juga menjadi Raja Muda, pada masa itu Tengku Tengah
yagn memangku jawatan penasihat raja (Phraya Phitak) itupun mangkat pula lalu
diganti oleh anaknya Tengku Abdul Kadir memangku jawatan itu. Serta dilantik
Tengku Abdul Kadir putera Sulaiman itu menjadi Penolong Raja (Phra Phipit
Phakdi)
Di dalam masa pemerintahan
Sultan Sulaiman Sharifudin ini, banyaklah baginda membuat kebaktian terhadap
keselamatan dalam penghidupan rakyat jelata Patani. Di antaranya ialah menggali
sebuah sungai kerana membetulkan sugan Patani yang bengkok iaitu dikenali mulai
dari kampung Perigi hingga sampai ke kampung Anak Buluh panjangnya lebih kurang
7 kilometer, sekarang telah terkenal dengan mana Sungai Baru.
Selain
dari itu, baginda sangatlah mengambil berat dalam urusan agama Islam dan dengan
kehendaknya juga telah terbina sebuah masjid batu yang besar hingga sekarang
masih terdiri dengan kukuhnya iaitu terkenal dengan nama Masjid Besar Cabang
Tiga yang ada pada hari ini. Baginda Sultan Sulaiman Sharifudin ini
tidaklah bersemayam di dalam kota istana yang dibuat oleh al-Marhum Kelantan
yang dahulu itu dan baginda telah berbuat sebuah kota Istana yang baru arah
sebelah matahari naik kota itu, di dalamnya baginda bersemayam hingga mangkat.
Di dalam kota Istana yang baharu ini juga menjadi tempat semayam Tengku Muhamad
Raja Muda.
Tiada berapa tahun kemudian Tuan
Andak Raja Legeh pun mangkat, lalu dilantik Tuan Tengah saudaranya iaitu anak
kepada Tuan Sulong menjadi Raja Legeh menggantinya. Demikian juga apabila Nik
Mat Raja Jering mangkat maka dilantik Nik Wok anaknya menjadi raja memerintah
di situ pula.
Sultan Sulaiman Sharifudin
telah menjalankan pemerintahan dengan adil saksama serta banyak baginda
berbakti kepada rakyat jelata. Kerajaan Patani sekalipun pemerintahan baginda
dijalankan di bawah kawalan perhatian Raja Siam-Thai tetapi soal menyelenggarakan
kepentingan bangsa negeri dan kerajaan tidak ditinggalkan sahaja oleh baginda
itu.
Setelah 10 tahun lamanya Sultan
Sulaiman Sharifudin menduduki di atas takhta kerajaan Patani hingga
memasuki tahun Masehi 1899 iaitu bersamaan pada hari Jumaat 4 bulan
Rabiulawal 1316H baginda pun mangkat dan dimakamkan perkuburan Tok Ayah juga.
Kemangkatan baginda telah
meninggalkan dua orang putera dan dua orang puteri yang didapati dari dua orang
isteri iaitu:
Anak
dengan bonda Kelantan :
1. Tengku
Sulung isteri Tengku Bentara.
Anak dengan Tengku Nik Putih anak Raja Sai.
2. Tengku
Besar Tuan Kembang isteri Tengku Muhamad Raja Muda.
3. Tengku
Abdul Kadir Kamarudin kemudian menjadi Raja Patani yang kelima.
4. Tengku
Muhamad Saleh.
Kemudian
dari kemangkatan baginda itu, lalu dilantik puteranya Tengku Abdul Kadir
Kamarudin menaiki takhta kerajaan Patani menggatikan ayahandanya iaitu menjadi
Raja Patani yagn kelima daripada keturunan raja-raja Kelantan dan
ialah juga seorang Raja Melayu yang akhir sekali memerintah negeri Patani.
Manakala
sampai ada tahun Masehi 1902, Raja Siam-Thai di Bangkok telah mengambil
keputusannya hendak mengubah cara pemerintahan di dalam jajahan takluknya di
Patani iaitu berkehendak supaya tujuh buah wilayah dalam Patani itu dicamtum
menjadi sebuah wilayah sahaja dan dinamakan Boriwen (kawasan).
Kemudian dimansuhkan daulat atau kekuasaan raja-raja Melayu yang bertujuh itu.
Serta dilantik seorang Pesuruhjaya Siam mengganti raja-raja Melayu dengan bertanggungjawap
menjalankan pemerintahan di dalam negeri Patani di bawah hukuman dan perhatian
Raja Singgora.
Raja Siam-Thai sangat mengerti bahawa kehendaknya ini tentu akan mendapat
bantahan kuat dari raja-raja Melayu kerana iaitu bererti mencabul daulat dan
kehormatan mereka sebagai raja-raja Melayu yang mempunyai hak pertuanan di atas
negeri Patani. Oleh itu dia telah menghantar seorang Menteri utusannay ke
Patani supaya merundingkan hal itu dengan raja-raja Melayu. Di dalam
rundingannya ini dia telah meminta tanda tangan daripada raja-raja Melayu itu
tanda kebenaran dan persetujuan dengan kehendak Raja Siam itu. Serta dia
berjanji akan memberi gaji saraan hidup kepada raja dan kaum kerabatnya hingga
sampai mati. Akan tetapi hak-hak dan pendapatan hasil mahsul di dalam negeri
Patani itu semuanya hendaklah diserahkan kepada Raja Siam di Bangkok, serta
tiap-tiap seorang Raja Melayu itu tidak lagi dipaksa menghantar ufti Bunga Emas
ke Bangkok.
Dengan
menggunakan bermacam-macam tipu muslihat. Maka banyaklah di antara raja-raja
Melayu itu telah terpedaya hingga sanggup memberi tandan tangan mengaku
bersetuju dengan kehendak Raja Siam-Thai. Kecuali Tengku Abdul Kadir Kamarudin
Raja Patani sahaja yang berkeras membantah kehendak Raja Siam itu serta tidak
mahu memberi tanda tangannya kepada Menteri utusan Siam yang datang ke Patani
itu kerana baginda telah mengerti bahawa kehendak Raja Siam itu bermaknalah
hendak merampas semua sekali hak-hak orang-orang Melayu yang mempunyai
hak pertuanan di atas negeri Patani. Dan akhinya orang-orang Melayu juga
akan jatuh terkongkong di bawah penaklukan Siam-Thai bersama-sama dengan hak
kebebasan dan kemerdekaan mereka.
Dengan pengertian ini Tengku Abdul Kadir Kamarudin telah penuh berazam tidak
mahu membenarkan kehendak Raja Siam-Thai. Setelah itu Menteri utusannya mulalah
bertindak dengan cara kekerasan akan menangkap baginda itu. Pada suatu hari
pura-pura dipersilakan baginda itu ke rumah perhentiannya konon katanya hendak
mengadakan rundingan yang baik. Bala sahaja baginda datang ke rumahnya, denga
segera ditahan oleh orang-orang Siam-Thai dalam sebuah bilik tidak
dibenarkannya keluar. Hal ini dijalankan denga cepat ligas hingga baginda
sendiri tidak sedar.
Bila hal penangkapan ini ditetahui oleh panglima-panglima dan orang-orang
besar Melay, datanglah mereka beramai-ramai hendak merebut rajanya di
dalam tahanan orang-orang Siam itu. Tetapi baginda berfikir tidak berguna
dibiarkan rakyatnya bertumpah darah kerana telah diketahuinya kekuatan
orang-orang Patani itu terlampau kecil lalu dibiarkan sahaja baginda itu
di dalam tahanan. Istimewa raja-raja Melayu yang lain sudahpun berpihak kepada
Raja Siam-Thai dengan memberi tanda tangan masing-masing. Melainakan Raja Legeh
dan Raja Remen sahaja yang berpendatan seperti baginda. Dalam hai itupun
kesudahannya dengan kerana digertak dan diugut oleh orang-orang
Siam-Thai, terpaksalah raja-raja ini membenarkan kehendak Raja Siam itu.
Setelah
itu Menteri utusan Siam pun kembali ke Bangkok dengan membawa bersamanya Tengku
Abdul Kadir Kamarudin ke sana tujuannya hendak mendesak dan mengancam supaya
baginda memberi tandangan atau bersetuju dengan kehendak Raja Siam itu. Tetapi
baginda ialah seorang raja Melayu yang keras hati dan sangat menghargakan
daulat Kerajan Patani terus juga membantah kehendak Raja Siam-Thai, lalu
dihantar baginda itu ke dalam sebuah tempat tahanan di negeri Pitsanuloke
duduknya di utara kota Bangkok.
Tatkala itu banyaklah di antara orang-orang Melayu Patani yang taat setia
kepada baginda itu telah bertawakal mengikut bersama-samanya hingga sampai ke
Pitsanuloke, setengah mereka ada yang telah mati di tengah jalan dan ada pula
yang telah mati di sanal.
Setelah dua tahun sembilan bulan lamanya baginda ditahan di situ maka pada
tahun Masehi 1905 baginda pun dapatlah kebenaran dari Raja Siam kembali
ke Patani. Pasa masa itu cara-cara pemerintahan di dalam negeri Patani telah
berubah dan bertukar mengikut kehendak Raja Siam-Thai. Negeri Patani telah
dicantum menjadi sebuah wilayah dan duduknyadi bawah kawalan dan hukuman Raja
Singgora yang diperintah oleh seorang Pesuruhjaya Siam bernama Phraya Mohibul
duduknya di dalam negeri Patani.
Sekalian raja-raja yang emam itu pun terhapuslah daulat kekuasaan masing-masing
hanya duduk dengan menerima gaji saraan hidup sahaja hingga sampai mati.
Setelah kembalinya Tengku Abdul Kadir Kamarudin itu ke Patani, baginda tidak
suka lagi duduk di Patani lalu terus berangkat tinggal di Kelantan beberapa
tahun lamanya. Hingga sampai pada tahun Masehi 1933 baginda pun
mangkatlah di Kelantan dengan menghidap penyakit angin sesak.
Kemangkatan baginda telah meninggalkan tida orang putera dan tiga orang puteri
iaitu :
Dengan Tengku Puteri Kelantan :
1. Tengku
Ahmad Nurudin (Tengku Seri Akar Raja) Kelantan.
Dengan Tuan Namas Patani :
2. Tengku
Zahedah (Tengku Besar)
3. Tengku
Yusuf Samsudin.
4. Tengku
Raudzah bersuami kepada Raja Haji Ahmad Perak.
5. Tengku
Kamariah.
Dengan Maimunah Patani :
6. Tengku
Yah bersuami kepada Tengku Abdul Kadir Petra (Tengku Petra) anak Raja Sai.
7. Tengku
Mahmood Mahyiddeen.
Yang
demkian tahun 1902 M ialah tahun kejatuhan negeri Patani yang penghabisan
sekali iaitu kehilangan daulat raj-rajanya. Terhapus hak pertuanan orang-orang
Melayu atas negeri Patani, tergadai semua hak kebebasan dan kemerdekaan
mereka kepada Raja Siam-Thai. Inilah tahun yang sehabis-habis malang sekali di
dalam sejarah kejatuhan Kerajaan Melayu Patani.
Dengan kemangkat Tengku Abdul Kadir Kamarudin itu habislah raja Melayu yang
menduduki takhta Kerajaan Patani, daripada keturunan raja-raja Kelantan. Dari
semenjak itu tidak ada siapa pun lagi yagn diangkat menjadi Raja Patani. Hanya
negeri Patani mulai mejadi sebuah daripada jajahan takluk kerajaan Siam-Thai.
Di dalam tahun Masehi 1906 dengan kehendak Raja Siam juga pemerintahan
secara Boriwen itu
hapuskan dan diganti dengan suatu cara pemerintahan yang lebih baharu. Lalu
sekalian wilayah-wilayah yang tujuh di dalam Patani itu disatukan semula
menjadi sebuah jajahan provinsi Patani, dalam bahawa Siam dinamakan Monthon Patani.
Kemudian di dalam provinsi Patani itu dibahagikan menjadi empat buah wilayah
pula dipanggilnya iaitu wilaya Patani, Yala, Saiburi dan Narathiwat
(Bangnara). Kemudian dilantik Pesuruhjaya Siam-Thai memerintah di dalam
tiap-tiap buah wilayah itu.
Serta dilantik pula seorang Pesuruhjaya Tinggi (Gabenor General) berpusar di
Patan, buat memerintah di atas empat buah wilayah itu dan sekalian pesuruhjaya
di dalam tiap-tiap buah wilayah itu menjalankan pemerintahan masing-masing
dibawah kawalannya. Pesuruhjaya Tinggi itu dinamakan dalama bahasa Siam Semo Ha Tesa Peba Monthon. Adapun orang Siam yang mula-mula sekali memangku jawatan
Pesuruhjaya Tinggi dalam provinsi Patani itu ialah yang bernama Phraya Sakseni
Narong dan nama gelarannya yang baharu Phraya Deca-Nucit.